Ketua Seksyen Penguatkuasaan JPJ negeri, Mohd. Azlan Shah Othman berkata, anggota terlibat dibahagikan kepada 21 pasukan dan akan melakukan sekatan jalan raya secara statik serta rondaan di jalan Persekutuan, negeri dan lebuh raya.

Menurutnya, operasi yang bermula pukul 6 pagi hingga 12 malam itu menumpukan tujuh kesalahan iaitu tidak mematuhi lampu isyarat; memotong di garisan berkembar; memandu di lorong kecemasan; memotong barisan; menggunakan telefon bimbit semasa memandu; memandu mele­bihi had laju dan tidak memakai tali pinggang keledar.

“Operasi ini dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna di jalan raya di samping kelancaran lalu lintas ekoran pertambahan kenderaan sempena musim cuti.

“Tujuh kesalahan itu diberi tumpuan kerana ia adalah penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya dan sering dilakukan pemandu,” katanya ketika ditemui semasa memantau Op Patuh 2 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azlan memberitahu, JPJ kini tidak ha­nya menumpukan kepada cuti pera­yaan sahaja untuk melaksanakan operasi khusus, tetapi cuti yang panjang juga diberikan perhatian.

“Sebelum ini Op Patuh hanya diadakan ketika musim perayaan, tetapi kini operasi ini turut akan diadakan jika ada cuti selama tiga hari berturut-turut.

“Kita mahu anggota kita berada di jalan raya dan disedari oleh pengguna jalan raya supaya mereka lebih berhati-hati ketika memandu,” jelasnya.

Mengulas tentang Op Patuh 2 yang dilancarkan di Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Utara Selatan dan jalan ne­geri hari ini, Mohd. Azlan berkata, empat pemandu dikompaun dan seorang lagi diberikan notis.

“Dua pemandu dikesan menggunakan telefon ketika memandu, dua memotong barisan dan seorang lagi diberi notis larangan penggunaan kenderaan,” katanya.