Pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) itu berkata, pengalaman melalui dua kegagalan dalam peperiksaan sebelum ini mendorongnya untuk istiqamah mencari keredaan Allah bagi membolehkan ilmu yang dituntut mendapat keberkatan di samping memperoleh kejayaan.

Katanya, setiap pagi dia akan bangun awal untuk menunaikan solat sunat tahajud dan hajat di samping membaca surah Yasin, sebelum kelas bermula.

"Waktu asar pula saya amalkan membaca surah Al-Waqiah dan Ar-Rahman untuk memohon rezeki dari Allah.

"Saya cuma mahu mencari keredaan Allah kerana sudah melalui kegagalan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak membuahkan hasil seperti yang diinginkan," kata anak seorang juruteknik dan guru ini ketika ditemui di sekolahnya, di sini hari ini.

Nur Syahidah yang menetap di Kampung Alur Tempoyak, Balai Besar di Dungun bersama Mohamad Aizudin Mah Hassan merupakan antara dua pelajar terbaik STPM di negeri ini yang meraih keputusan 5A.

Anak keempat daripada lapan beradik itu juga sentiasa memohon maaf dengan individu di sekelilingnya terutama guru-guru dan rakan-rakan jika ada perlakuannya yang dirasakan mengguris hati mereka.

Menurut Nur Syahidah, walaupun tidak berjaya merealisasikan impian sejak kecil untuk bergelar doktor gigi namun, dia bersyukur kerana berpeluang menyambung pengajian di peringkat STPM dengan mengambil subjek pengajian am, bahasa Arab, usuludin, syariah dan sejarah.

Katanya, dia merancang untuk memasuki Universiti Malaya dalam bidang syariah bagi mencapai cita-cita sebagai pensyarah. - UTUSAN ONLINE