NORHIZAM HASSAN BAKTEE
NORHIZAM HASSAN BAKTEE 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu dan Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu berkata, beliau mengakui kesilapan, kekasaran bahasa serta keterlanjuran kata ketika berkomunikasi dengan rakyat dalam menyelesaikan isu penutupan jalan, semalam.

“Saya sedar bahawa insiden yang tular di media sosial sejak petang semalam telah memberi imej negatif kepada diri saya sebagai wakil rakyat dan kerajaan yang saya wakili.

“Sebagai ADUN yang dipilih oleh rakyat, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk terutama dalam kawasan saya,” katanya pada sidang akhbar oleh DAP Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew dan Setiausaha DAP Melaka, Khoo Poay Tiong serta penduduk kampung yang terlibat.

Isu penutupan Jalan Pulau Nibong-Taman Akasia di Batu Berendam di sini menjadi hangat apabila video Norhizam, bersikap kasar terhadap penduduk kampung tersebut tular di laman media sosial.

Sementara itu, Kok Kiew berkata, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya akan mengadakan dialog atau perbincangan semula dengan penduduk Taman Akasia, Kampung Pengkalan Batu serta kampung di kawasan itu antaranya Kampung Pulau Nibong, dalam masa terdekat untuk mencari penyelesaian terbaik.

Beliau berkata, perbalahan antara Norhizam dan penduduk kampung itu dianggap selesai setelah pihak terlibat bersemuka hari ini.

“Kita selesaikan masalah ini ikut cara orang Malaysia, orang Melaka saling bermaafan, mengaku kesilapan masing-masing kerana kita manusia biasa dan memperbaikinya. Kita akan cari titik keseimbangan dan penyelesaian antara kehendak 180 penduduk taman dan penduduk kampung,” katanya. - BERNAMA