Noorjahan Sultan menunjukkan modul Let's Rhyme' (bacaan berirama) ciptaannya, di Kuantan, Pahang, semalam.

Beliau yang kini bertugas sebagai Pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) tidak menyangka dipilih sebagai juara kerana hanya menyertai bagi kategori undian, namun menang bagi kategori pilihan juri.

“Banyak faktor mendorong saya mencipta modul Let’s Rhyme (bacaan berirama) antaranya ialah apabila melihat anak didik berbahasa Inggeris di luar waktu pembelajaran, mereka gunakan perkataan-perkataan tersebut, itu kepuasan bagi saya.

“Bagi saya, sebagai guru pendidikan awal kanak-kanak perlu lebih berinovatif kerana murid hari ini mahukan sesuatu yang dinamik. Kalau kaedah tidak holistik dan menarik, pasti gagal menambat hati mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kegiatan Guru, Teruntum di sini, hari ini.

Noorjahan dari Indera Mahkota di sini merupakan pengasas modul bacaan berirama mudah untuk murid prasekolah belajar bahasa Inggeris Let’s Rhyme berjaya menewaskan 38 calon lain dari rantau Asia dan Oceania.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, teknik bacaan berirama menyebabkan beliau bukan sahaja berjaya meningkatkan kemahiran murid lemah bahasa Inggeris untuk bersaing dengan murid lain tetapi turut membuahkan kepuasan untuknya mengajar.

“Murid-murid tidak sabar menunggu saya untuk belajar bahasa Inggeris dan perasaan itulah yang memberi kepuasan kepada saya sebagai guru,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan dalam satu kenya­taan berkata, pengiktirafan tersebut membabitkan pencarian guru bahasa Inggeris terbaik di arena antarabangsa.