ANTHONY LOKE

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah jualan kesemua 10 nombor khas tertinggi bagi ‘Malaysia’ adalah bernilai RM3.6 juta.

Sementara itu, beliau berkata, nombor pendaftaran ‘Malaysia 2020’ dikhaskan bagi kegunaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk kenderaan rasminya.

“Siri nombor plat khas ini memberi aliran pendapatan bagi kerajaan, satu hasil kerajaan yang cukup tinggi,

“Mungkin setiap dua minggu kita akan menjual nombor khas. Kalau ada orang kaya sanggup beri hasil kepada kerajaan kenapa tidak? Apa pun kita kena juga keluarkan nombor pendaftaran,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Nombor ‘Malaysia 1’, ‘Malaysia 2’ dan ‘Malaysia 4’ telah dibida oleh syarikat Aldi International Sdn. Bhd.

Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), nombor plat pendaftaran kenderaan paling tinggi sebelum ini adalah nombor V1 iaitu bernilai RM989,000.

Nombor pendaftaran ‘Patriot 1’ telah dijual pada nilai RM1.3 juta tetapi ia dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan hasil daripada penjualan nombor itu tidak menjadi hasil kerajaan.

Sementara itu, Anthony berkata, berlaku banyak ketirisan pada pentadbiran kerajaan sebelum ini apabila siri-siri nombor khas berkenaan hanya diberikan kepada NGO dengan harga tender sebanyak RM1 juta.

Namun begitu, katanya, menerusi penjualan siri-siri nombor tersebut oleh JPJ, kerajaan akan memperoleh hasil yang cukup tinggi sebagai contoh, siri nombor ‘Malaysia’ yang berjaya meraih RM3.6 juta dengan hanya 10 nombor.