Nisha berkata, perkara tersebut hanya disedari selepas gambar tersebut tular dalam media sosial.

"Gambar tersebut yang diambil sejak tahun lalu telah memberikan gambaran yang negatif kepada saya sedangkan saya tidak diberitahu pun mengenai pameran tersebut sehingga ada rakan yang memberitahu.

"Bagaimanapun, paling merisaukan saya sekarang ialah mengenai impak terhadap golongan transgender lain dan kebencian orang ramai terhadap golongan ini sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan timbalannya, Fuziah Salleh, di sini hari ini.

Festival pameran fotografi 'Stripes and Strokes' yang sedang berlangsung sejak 4 Ogos lalu mula mendapat perhatian banyak pihak apabila Mujahid mengaku telah mengarahkan potret aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diturunkan.

Bagaimanapun, kenyataan beliau mendapat reaksi berbeza daripada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang, Chong Eng yang menegaskan tiada keperluan bagi kerajaan negeri untuk mengarahkan supaya potret ikon LGBT itu diturunkan atas faktor hak asasi manusia.

Mengulas lanjut, Nisha berkata, ekoran tersiarnya gambar tersebut dia telah dihujani dengan pelbagai mesej berbaur ugutan termasuk ugutan bunuh.

Sementara itu, Nisha turut menegaskan, dia hanya memperjuangkan nasib golongan transgender di negara ini untuk mendapat kehidupan lebih baik dan dia bukan merupakan aktivis bagi lesbian, gay dan biseksual. - UTUSAN ONLINE