Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy berkata, majoriti daripada aset tersebut berada dalam sektor hartanah, khususnya di kawasan strategik Kuala Lumpur.

"Perlu difahamkan, nilai aset itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa, memandangkan majoriti daripadanya dalam sektor hartanah.

"Nilai aset syarikat ketika ini lebih daripada cukup untuk membayar hutang syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Diskusi 1Minda 1Bicara 1MDB yang diadakan di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini sebentar tadi.

Menurut Arul Kanda, 1MDB telah mengambil beberapa langkah penyelesaian dalam mengurangkan hutang syarikat tersebut sejak tahun 2015.

"Antara penyelesaian jangka pendek adalah dengan penjualan aset syarikat Edra, manakala penyelesaian jangka panjang adalah dengan pembangunan hartanah khususnya di Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia," katanya. - UTUSAN ONLINE