Memetik laporan portal Malaysiakini, Nik Nazmi berkata, laporan polis tersebut dibuat bagi merujuk secara spesifik kes yang melibatkan dirinya di bawah Akta Perhimpunan Aman berhubung Himpunan Black 505, pada 2013.

“Saya rujuk kepada kes saya secara spesifik kerana ada dalam perenggan 86 ke 90 afidavit tersebut, Hamid memaklumkan tentang kes Himpunan Black 505.

“Jadi, saya rujuk kepada perkara itu dan sekarang masuk akal apabila berkali-kali saya didakwa walaupun saya telah dibebaskan serta cubaan untuk menghalang pimpinan pembangkang (Pakatan Harapan) ketika itu untuk bertanding pilihan raya,” katanya.

Nik Nazmi pada Disember 2016 mengaku bersalah kerana tidak memberi notis 10 hari untuk mengadakan perhimpunan Black 505 yang diadakan beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Timbalan pendakwa raya, K. Mangai ketika itu mahukan Nik Nazmi didenda RM5,000, iaitu jumlah denda yang jika dibenarkan mahkamah akan menyebabkan hilang kelayakan bertanding dalam PRU ke-14.

Bagaimanapun, pada 17 Januari tahun lalu, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Mohtarudin Baki menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan denda RM1,500 yang membolehkan Nik Nazmi bertanding.

14 Febuari lalu, Hamid mengemukakan afidavit setebal 63 halaman yang mendedahkan butiran maklumat berhubung campur tangan hakim-hakim tertentu dalam beberapa kes melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang merupakan pembangkang ketika itu.

Dalam afidavitnya, Hamid turut menamakan seorang hakim tertinggi sebagai “ARLC”. - UTUSAN ONLINE