Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, ekspo yang julung kali diadakan itu bakal menjadi jenama yang mengete­ngahkan pelbagai hasil dan usaha untuk menggalakkan pembangunan dan kemajuan sains, teknologi dan inovasi negara.

Jelas beliau, penganjuran eks­po tersebut juga adalah bagi membudayakan inovasi dan kreativiti selaras dengan hasrat merealisasikan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju berteraskan inovasi.

“Langkah penganjuran ekspo ini adalah untuk mengarusperdanakan sains, teknologi dan inovasi dalam pembangunan sosioekonomi di Malaysia.

“Ini termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sekali gus mempertingkatkan minat mereka terhadap pelajaran sains dan teknologi,” katanya dalam sidang akhbar berhubung ekspo berkenaan di sini hari ini.

NICE 2017 yang bertemakan Negaraku Berinovasi akan diadakan di tiga lokasi di ibu negara iaitu Technology Park Malaysia, Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara.

Pelancaran NICE 17 akan di­sempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu Wilfred berkata, antara program yang dijalankan dalam ekspo berkenaan adalah pertandingan, pendidikan hiburan selain 300 gerai bercirikan sains, teknologi dan inovasi.

Kata beliau, program-program itu dijalankan dengan menumpukan kepada lima kluster iaitu teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pendidikan hiburan, kesejahteraan serta pengkayaan maklumat.

“Antara tarikan NICE 2017 kepada generasi muda adalah teknologi-teknologi terkini yang akan diketengahkan pada ekspo ini selain pameran hasil teknologi ciptaan rakyat tempatan,” kata­nya.

Dalam pada itu Wilfred berkata, kementerian mengharapkan peruntukan lebih besar dalam Bajet 2018 untuk pembiayaan penyelidikan.