Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail berkata, pembayaran yang dijanjikan itu akan dilunaskan dalam masa terdekat dan akan membantu meringankan beban kewangan negara.

Katanya, NFCorp telah memulakan usaha pemulihan pembangunan dan proses penstrukturan semula syarikat iaitu beberapa perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah pun diadakan.

“Sehingga kini, pihak NFCorp belum mendapat apa-apa jawapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau;

“1. Saya merujuk kepada keratan akhbar The Edge yang dikeluarkan pada 1 Jun 2019 berkenaan pemfailan penyataan tuntutan oleh Peguam Negara mengenai pinjaman NFCorp yang masih tertunggak. 

2. Saya tertanya-tanya kenapa tindakan Peguam Negara terhadap saya sekeluarga diambil walhal isu pembayaran balik pinjaman sepenuhnya kepada pihak Kerajaan telahpun dimaklumkan tujuh bulan lalu, semenjak bulan November 2018. 

3. NFCorp telah memulakan usaha pemulihan pembangunan dan proses penstrukturan semula syarikat, di mana beberapa perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah pun diadakan, yang pada dasarnya usaha ini disambut baik, sepertimana diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

4. Surat tawaran pembayaran balik pinjaman sepenuhnya telah juga diutuskan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang terkini pada 17 Mei 2019. Sehingga kini, pihak NFCorp belum mendapat apa-apa jawapan. 

5. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menyatakan bahawa saya akan memberi kerjasama sepenuhnya mengikut proses perundangan negara.

6. Saya juga ingin menyatakan bahawa saya, sepertimana juga seluruh rakyat Malaysia berharap isu ini diselesaikan di mana pinjaman tertunggak dengan pihak Kerajaan dibayar sepenuhnya secara full redemption (penebusan penuh) oleh NFCorp dalam masa terdekat dengan persetujuan pihak Kerajaan. Lagipun, ini akan membantu dalam meringankan beban kewangan negara seperti yang disebut oleh pihak berkuasa.

7. Apa-apa jua pun, saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak Kerajaan untuk memastikan isu ini diselesaikan secara terbaik. Saya yakin, di bawah kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad, isu ini akan mencapai kata penyelesaian di mana pihak NFCorp akan membayar balik baki tertunggak pinjaman kepada pihak Kerajaan, dan aspirasi-aspirasi projek yang penuh dengan potensi ini akan dipenuhi. - UTUSAN ONLINE