Katanya, sebahagian besar da­ripada wang kerajaan akan digunakan untuk membayar hutang.

“Inilah keutamaan kita kini, ia­itu untuk menyelesaikan ma­salah hutang ini,” katanya dengan menambah kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada risiko negara menjadi bankrap.

Dalam perjumpaan beliau de­ngan rakyat Malaysia yang bermastautin di United Kingdom pa­da satu jamuan minum lewat petang Ahad, Dr. Mahathir me­ngucapkan terima kasih kepada me­reka yang menyumbang kepada Tabung Harapan Negara un­­tuk membantu mengurangkan beban hutang negara.

“Mereka secara sukarela telah bertindak mengumpul dana untuk membantu kerajaan. Sudah tentulah jumlahnya tidak banyak, (tetapi) sikap yang ditunjukkan mereka itu adalah amat dialu-alukan iaitu semangat kesetiaan rakyat kepada negara,” katanya.

Menjawab pertanyaan hadirin mengenai pembelian senjata, Dr. Mahathir menegaskan bahawa kerajaan memperuntuk­kan belanjawan yang lebih besar un­tuk bidang pendidikan ber­ban­ding pertahanan walaupun terdapat keperluan mendesak untuk membeli persenjataan baharu.

“Kita masih boleh bertahan wa­laupun menggunakan pesa­wat-pesawat yang ketinggalan zaman. Kita akan membelanjakan lebih banyak wang untuk perbe­lanjaan pendidikan,” kata beliau.

Dr. Mahathir berkata, Malaysia akan menghantar lebih ramai pelajar ke luar negara selain memanggil pulang rakyatnya yang berkemahiran tinggi di luar negara sebaik sahaja kedudukan ke­wangan negara pulih.

Sambil menyambut baik sis­wa­zah dan rakyat yang berkemahiran tinggi di luar negara pulang untuk berkhidmat di ta­nah air, Dr. Mahathir namun mendedahkan bahawa bilangan pekerjaan yang boleh ditawarkan kepada mereka di Malaysia adalah tidak mencukupi buat masa ini.

Beliau berkata, usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini su­paya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan te­lah mendapat sambutan yang amat menggalakkan tetapi ia belum bermula lagi.

Dr. Mahathir turut mengalu-alukan syarikat-syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara untuk kembali ke tanah air dan beroperasi di Malaysia. – BERNAMA