Katanya, sikap terpuji dimiliki baginda terutamanya dalam aspek disiplin dan ketepatan masa wajib dicontohi oleh setiap pe­mimpin dan rakyat negara ini.

“Saya merafak sembah takziah kepada Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah serta seluruh kerabat diraja di atas pe­mergian Tuanku Abdul Halim.

“Ketika menghantar baginda pu­lang ke Kedah selepas mena­matkan tugas sebagai Yang di-Per­tuan Agong tahun lalu, bagin­da ada berpesan supaya saya sen­tiasa membantu Perdana Men­teri, Datuk Seri Najib Tun Ra­zak selain berusaha menjaga keharmonian dan keamanan negara. Insya-Allah, titah itu akan saya pegang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tuanku di Balai Penghadapan Ba­haru, Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Ahmad Zahid hadir mewakili Perdana Menteri yang kini berada di Amerika Syarikat atas urusan negara.

Tambahnya, antara momen pa­ling diingati bersama Almarhum adalah ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan.

“Pada waktu itu, saya dua kali dipertanggungjawabkan untuk mem­beri perhatian kepada pe­ngan­juran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA). Pada waktu itu, baginda bertitah supaya dibuat lif di Dewan Mahsuri, Langkawi bagi memudahkan baginda naik ke tingkat atas.

“Selain itu baginda mahu su­paya semua kerabat diraja dijemput ke acara tersebut. Titah ba­ginda itu saya penuhi dan bermula dari situ terjalin hubungan peribadi sesama kami,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, se­suatu yang amat beliau kagumi adalah sifat penyayang baginda kepada rakyat.

“Ketika Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong, saya kerap me­ngiringi baginda ke majlis-maj­lis rasmi. Apa yang saya perhatikan, walau sesibuk mana sekali pun, Tuanku Abdul Halim tetap bersalam dengan rakyat yang berbaris di kiri dan kanan laluan bagi menghargai kedatangan serta sambutan mereka terhadap ba­ginda,” katanya.