Ketua Setiausaha Per­bendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah (gambar) berkata, perkara itu juga akan menyebabkan hu­tang negara semakin me­ningkat sekali gus menggugat kestabilan ekonomi Malaysia.

Katanya, pemansuhan GST akan menyebabkan kehilangan sebanyak RM45 bilion kepada pendapatan negara, manakala tol sebanyak RM338 bilion, duti eksais (RM2.4 bilion) dan PTPTN (RM3.9 bilion).

“GST tidak diperkenalkan begitu sahaja kita sudah melakukan kajian bertahun-tahun, 160 negara di dunia ini juga telah laksanakan GST dengan pelbagai peratusan dikenakan tetapi di Malaysia hanya enam peratus dan ia dilihat lebih munasabah serta tidak membebankan kea­daan ekonomi dan rakyat. Malah, lebih 500 barangan asas seperti beras, gula, sayuran tidak dikenakan GST.

“Jadi GST di Malaysia adalah berbeza daripada GST di negara lain seperti di India yang me­ngenakan lima sehingga 28 peratus pada kadar yang berubah-ubah,” katanya dalam satu sesi temu bual khas bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Sri Pentas, Bandar Utama, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Irwan Serigar berkata, sekiranya GST dimansuhkan dan digantikan semula de­ngan cukai jualan dan per­khidmatan (SST), negara hanya mampu memperoleh kutipan sebanyak RM18 bilion sahaja.

“Walaupun kita memper­kenalkan balik SST, kita hanya dapat RM18 bilion kutipan. Jadi baki RM27 bilion lagi mana kita nak cari? Malah, pemansuhan GST juga tidak akan membawa sebarang perubahan pada harga barangan,” ujarnya.

Menurut beliau, pelaksa­naan GST dianggap tepat pada masanya ketika harga pasaran minyak dunia turun mendadak mengakibatkan negara kehila­ngan sumber pendapatan yang tinggi namun berjaya diimbangi oleh pelaksanaan cukai tersebut.