ALIMUDDIN MOHD DOM
ALIMUDDIN MOHD DOM 

Tokoh Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, para mahasiswa kena faham konsep belajar iaitu bukan semata-mata ghairah untuk mendapatkan sijil akademik pelbagai tahap tetapi usaha mendapat pengalaman, kemahiran dan pengetahuan.

“Perbuatan tidak beretika itu bukan hanya menjejaskan imej universiti bahkan menyebabkan negara mengalami kerugian kerana pemain industri terpaksa bergantung dengan tenaga luar.

“Kerajaan kena ambil tindakan serius kerana bilangan pekerja mahir di negara ini berada pada tahap cukup kritikal, jika dibiarkan

DR. IBRAHIM ABU SHAH
DR. IBRAHIM ABU SHAH 

kes ini berleluasa tidak mustahil modal insan tempatan terus hanyut dan tidak berguna,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Laporan khas Utusan Malaysia hari ini mendedahkan jenayah akademik dalam kalangan penuntut universiti yang mengambil jalan mudah mengupah pihak ketiga bagi me­nyiapkan tugasan.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi Tokoh Pendidikan, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, para pensyarah perlu mengenal pasti masalah ini kerana mereka yang bertanggungjawab memberi tugasan kepada pelajar.

Kata beliau, jika perkara tersebut dibiarkan, secara tidak langsung sektor pendidikan negara melahirkan mahasiswa yang tidak berintegriti dan beretika.

“Kita membiarkan anak-anak ini menipu untuk mencapai matlamat. Bermula dengan membayar sindiket bagi me­nyiapkan tugasan, kemudian menipu untuk mendapat gelaran datuk dan seterusnya perkara lain pula,” katanya.

Kementerian tidak berkompromi

Kementerian Pendidikan tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah akademik termasuk mereka me­ngupah individu ketiga me­nyiapkan tugasan universiti.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan, memberikan tugasan universiti kepada orang ketiga juga merupakan satu jenayah akademik yang sama seperti amalan plagiat.

"Kita (Kementerian Pendidikan) tidak akan bertoleransi dalam jenayah akademik," katanya ketika ditemui selepas tinjauan hari pertama sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 14(1) di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia hari ini mengenai jenayah akademik sehingga sanggup mengupah pihak ketiga bagi menyiapkan tugasan dan laporan universiti sehingga selesai.

Malah perbuatan berkenaan bukan sahaja dilakukan oleh syarikat tertentu malah juga di­dalangi dalam kalangan mahasiswa yang ingin menjana pendapatan.

Sindiket itu mengenakan kadar bayaran sebanyak 50 sen bagi setiap patah perkataan dengan khidmat nasihat diberikan menerusi e-emel, panggilan telefon, aplikasi Whatsapp atau mahasiswa boleh datang sendiri ke pejabat mereka yang ber­operasi di Lembah Klang, Kuc­hing, Sarawak dan Johor Bahru, Johor.

Bagi menyakinkan pelanggan, sindiket turut mendakwa bahawa syarikat mereka berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan perkhidmatan ditawarkan itu adalah sah di sisi undang-undang.

Tawaran siapkan tugasan mudah diperolehi

Penawaran terbuka secara dalam talian memungkinkan ramai pelajar di peringkat institut pengajian tinggi bertindak mengupah pihak ketiga menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah mereka.

Pelajar jurusan undang-undang sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), Amirul Shafiq, 21, berkata, sindiket itu disyaki bukan sahaja didalangi orang tempatan malah turut melibatkan individu dari luar negara menerusi Internet.

“Saya pernah me­lihat tawaran perkhidmatan seumpama itu berleluasa dalam laman web dan e-mel. Pelajar hanya perlu memilih perkhidmatan yang sesuai dan sete­rusnya pihak terbabit akan membalas permintaan tersebut melalui e-mel,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain itu, sindiket itu turut licik menawarkan perkhidmatan konsultasi untuk mahasiswa menjawab segala pertanyaan penyelia demi memastikan perbuatan mereka tidak dapat dihidu.

“Kadar bayaran yang dikenakan kepada setiap pelajar tidak terlalu mahal serta mampu dibayar. Kalau servis dari luar negara pula, kadar ditetapkan mencecah AS$50 (RM207) untuk sekali perkhidmatan,” ujarnya.

Apa guna ada ijazah, sarjana?

Segulung ijazah atau sarjana tidak akan memberi sebarang nilai termasuk tawaran dan peluang pekerjaan jika penuntut universiti menggunakan jalan mudah membayar pihak lain bagi menyiapkan tugasan pengajian.

Sijil akademik pelbagai tahap adalah produk akhir tetapi ia bukan tiket untuk melayakkan mana-mana graduan mendapat pekerjaan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perbuatan membayar pihak lain dan plagiat hasil kerja orang lain sebenarnya telah berlaku di Amerika Syarikat sejak 25 tahun lalu tetapi tidak menimbulkan sebarang masalah ketika itu.

“Zaman saya dahulu, ada ijazah atau sarjana senang diterima bekerja, jadi orang sanggup buat apa sahaja untuk segulung kertas itu.

“Tetapi keadaan berbeza hari ini kerana para majikan mendambakan pekerja yang mempunyai kemahiran se­perti menganalisis, berinteraksi dengan baik, berhujah, menyelesaikan masalah dan kepemimpinan,” katanya hari ini

“Kesemua nilai tersebut hanya boleh diperolehi menerusi proses pembelajaran yang jujur seperti menghadiri kelas, membuat tugasan yang diberi, terlibat dalam pelbagai aktiviti dan menduduki peperiksaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Laporan khas Utusan Malaysia hari ini mengupas jenayah akademik dalam kalangan penuntut universiti yang mengambil jalan mudah mengupah pihak ketiga bagi menyiapkan tugasan.

Jelas Mohammad Shatar, pensyarah yang memiliki pengalaman sebenarnya boleh mengesan mahasiswa yang membuat sendiri tugasan atau membayar pihak ketiga berdasarkan prestasi individu itu dari awal semester.

Kata beliau, pihak universiti juga perlu serius dengan mengambil tindakan tegas, bukan hanya menerima tugasan secara membabi buta tetapi turut menyiasat jika pencapaian mahasiswa itu tidak konsisten.

“Jika mahasiswa sayangkan masa depannya, sudah tentu tidak akan melakukan perbuatan tersebut lebih-lebih lagi kalau mereka hendak bekerja dalam bidang yang dipelajari,” katanya.-UTUSAN ONLINE