Menerusi kapsyen yang ditulis, Nazim menyatakan bahawa ia dirakam sehari sebelum dia berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah bagi menfailkan perceraian mereka.

"Foto-foto ini diambil ketika kami meluangkan masa selama enam jam untuk berbincang dari hati ke hati mengenai perpisahan kami. Ia berlaku sehari sebelum saya terbang ke Kota Kinabalu untuk memfailkan kes cerai.

"Ketawa, air mata dan alasan di sebalik perpisahan ini biarlah kami berdua simpan. Kami menerima takdir ini dengan hati terbuka dan bersetuju untuk tidak menjadikan perkara ini sensasi kepada umum. Kuncinya adalah reda," tulisnya.

Dalam pada itu, Nazim menjelaskan bahawa dia dan Bella menerima dan menghargai nasihat yang telah diberikan oleh peminat mereka namun akhirnya dia perlu mengikut jalan ketentuan yang ditulis oleh Yang Maha Esa.

"Ia sangat berat tetapi Tuhan memberikan dugaan yang berat terhadap umatnya yang kuat menerima dugaan tersebut. Kami percaya inilah yang terbaik buat kami berdua," tambahnya.

Bagaimanapun, Nazim tidak mendedahkan tarikh sebenar gambar tersebut dirakam.

Nazim dan Bella bernikah pada 10 September 2016 dan mengumumkan perceraian mereka pada 17 Mei lalu iaitu pada hari pertama Ramadan menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Instagram. - UTUSAN ONLINE