Apa yang lebih merungsingkan, hampir kesemua perniagaan bersaiz mikro merupakan milik bumiputera, wanita dan ibu tunggal yang selama ini berharap kepada bantuan kerajaan untuk mendapatkan modal berniaga.

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Prof. Emeritus Dr. Zakaria Abdul Rashid berkata, beliau difahamkan kerajaan sedang berusaha menstruktur semula AIM yang dikatakan berdepan kepincangan, namun merasakan penubuhan sebuah institusi se­perti AIM mesti diteruskan.

“Jika berdasarkan perkira­an, hampir kebanyakan perniagaan di negara ini bersaiz mikro. Oleh itu ada kewajaran sebuah badan untuk membantu peniaga mikro seperti AIM diteruskan.

“Tambahan pula perniagaan mikro ini kebanyakannya milik bumiputera yang miskin. Jika ditutup sekalipun, biarlah AIM diganti dengan pertubuhan lain kerana masih ada mereka yang mendapat manfaat daripada bantuan diberikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengikut laman web AIM, hingga Jun 2018, sebanyak RM20.23 bilion nilai pengeluaran pembiayaan dilakukan dengan peratusan bayaran balik pada kadar yang dianggap cemerlang iaitu sekitar 98 peratus.

Sementara itu, bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali, beliau melihat AIM perlu diperbaiki dengan melaksanakan bantuan secara lebih mendalam dan bukan sekadar memberi kredit sahaja.

Katanya, mekanisme pembia­yaan mikro perlu mengambil kira minat dan kemahiran peniaga dan mempunyai jurulatih keusahawanan yang berkaliber dan bertauliah.

“Jika penerima bantuan AIM berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan, maka pertubuhan itu boleh mendapatkan kembali sebahagian daripada keuntungan perniagaan untuk membantu peniaga lain,” katanya.