Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, meskipun sumbangan atau penghargaan yang akan diberi tidak boleh ditukar ganti dengan kehilang­an nyawa, khususnya yang dialami keluarga juruterbang pesawat itu, namun usa­ha tersebut merupakan agenda utama yang sentiasa diberi keutamaan kementerian berkenaan.

“Malah agenda kebajikan anggota dan vete­ran Angkatan Tentera Malaysia juga akan terus menjadi salah satu perkara penting dalam hala tuju Kementerian Pertahanan pada 2017,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat dua mangsa nahas pesawat itu yang cedera iaitu Kapten Wai Lik yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan Sarjan Udara Mohd. Sofi Azizan di Unit Ortopedik di sini hari ini.

Hishammuddin meluangkan masa kira-kira satu jam meninjau keadaan kesihatan kedua-dua anggota TUDM itu selain turut berbual dengan anggota keluarga dan waris mangsa.

Beliau yang diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang kemudiannya turut menziarahi keluarga juruterbang pesawat itu, Mejar C. Kayamboo di rumah mereka di Sri Nibong di sini.

Dalam lawatan itu, Hishammuddin turut menyerahkan cek bernilai RM22,000 kepada balu mendiang, S. Usha yang merupakan sumbangan daripada Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN).

Sementara itu, beliau turut mengumumkan keluarga Kayam­boo bakal menerima sumbangan berjumlah lebih RM400,000 secara berperingkat bagi meringankan beban keluarga mendiang.

Jumlah itu kata beliau, melibatkan pendahuluan gaji; insurans berkelompok; ganjaran dan tunggakan pencen; faedah ganti cuti rehat serta sumbangan daripada Tabung Kebajikan TUDM.

“Isteri mendiang juga akan menerima bayaran pencen bulanan yang dianggarkan berjumlah lebih RM2,300 sebulan,” kata­nya.

Dalam pada itu jelasnya, anggota yang tercedera dalam nahas berkenaan pula akan menerima sumbangan RM10,000 seorang, selain segala keperluan dan kebajikan anak-anak anggota berke­naan akan dibantu terutama dari segi kelengkapan persekolahan akan datang.