Demikian luahan seorang ejen jualan tiket bas di Terminal Amanjaya di Meru di sini, Mohamad Faries Mohd. Tarmizi, 32, yang terpaksa menutup operasi jualan tiket di kaunter ekoran pelaksanaan Sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS) berkuat kuasa 8 Mac lalu.

Meskipun arahan penutupan operasi itu ditangguhkan sekali lagi sehingga 30 April ini berbanding penangguhan kali pertama pada 31 Mac lalu, ia tidak memberi sebarang kesan kepada lebih 200 ejen jualan tiket kerana mereka tetap perlu me­ngosongkan terminal tersebut.

Keadaan itu menyebabkan mereka bingung memikirkan masa depan mereka kerana tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini terhadap permintaan meneruskan operasi di bangunan Silveritage di Medan Gopeng.

Bagi mereka, pemilihan bangunan Silveritage di Medan Gopeng di sini sebagai terminal bas baharu adalah penyelesaian terbaik kepada ejen-ejen jualan tiket yang berhadapan risiko kehilangan pekerjaan.

Menurut Mohamad Fari­es, kesemua ejen jualan tiket di Terminal Amanjaya kini bimbang tentang masa depan mereka kerana masih belum ada sebarang penyelesaian bagi isu tersebut dan penangguhan terbaru yang diterima sehingga 30 April depan itu juga masih belum cukup mele­gakan.

“Tiada hitam putih pun sama ada kekal di sini (Terminal Amanjaya) atau berpindah (Silveritage). Tiada sebarang jaminan walaupun kami sememang­nya mahu ke Silveritage untuk beroperasi.

“Sekiranya dapat berpindah ke sana, ia lebih baik untuk pengusaha bas dan penumpang. Lagipun Terminal Amanjaya ini tempat orang, lambat laun pun kami mesti diarah keluar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi Nor Rostam Aidie, 26, kesemua ejen jualan tiket berharap agar kerajaan negeri mempercepatkan pembukaan bangunan Silveritage sebagai terminal bas ekspres Ipoh Selatan.

Katanya, usaha itu mampu memberi kelegaan kepada ejen jualan tiket dan membolehkan mereka meneruskan operasi dalam keadaan selesa tanpa bimbang ‘diusir’ keluar dari terminal.

“Silveritage adalah lokasi terbaik dan kami yakin tidak mendatangkan masalah pada masa hadapan, malah pihak persatuan (Pertubuhan Kebajikan Ejen Jualan Tiket Bas Ekspres Silvertage Medan Gopeng) juga akan memastikan perkhidmatan selesa kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ejen Jualan Tiket Bas Ekspres Silvertage Medan Gopeng, Mohd. Tarmizi Mohd. Yusoff berkata, nasib kesemua ejen masih tergantung meskipun pihaknya telah mengadakan perjumpaan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mahu membantu ejen-ejen jualan tiket berpindah ke lokasi baharu di bangunan Silveritage.

“Kami mahukan jaminan (bersurat), cakap mulut ini macam-macam boleh jadi. Sekarang kami bukan sahaja risau tetapi takut masa depan gelap kerana ini adalah mata pencarian kami,” katanya.