Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kajian kesesuaian tanah perlu dilakukan terlebih dahulu bukan sahaja untuk tanaman nanas tetapi apa juga tanaman selingan lain yang boleh ditanam untuk membantu Felda.

“Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani bakal memperkenalkan tanaman nanas sebagai tanaman selingan yang boleh ditanam dengan kelapa sawit dan getah dalam usaha menjadikannya pendapatan tambahan.

“Inisiatif ini diambil kira potensi nanas yang dilihat mampu memberikan pulangan lumayan kepada pekebun dan pengusaha sekali gus berdepan dengan ketidaktentuan harga pasaran,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tuzra Marketing, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, usaha itu juga seiring dengan sasaran kementerian bagi meningkatkan keluasan tanaman nanas seluruh negara terutamanya bagi nanas jenis MD2.

Katanya, tanaman nanas MD2 disasarkan seluas 5,500 hektar pada tahun depan berbanding 2,032 hektar pada tahun 2017.

“Saya rasa sebelum akhir tahun ini, kita sudah boleh buat beberapa projek perintis di beberapa kawasan Felda yang terpilih.

“Kita mahu perkara ini dipercepatkan, tidak mahu berlengah kerana ini penting bagi kita meningkatkan pendapatan keluarga Felda,” katanya. - UTUSAN ONLINE