Allahyarham Puan Sri Azizah Hamdi, 58, menghembuskan nafas terakhir di PPUM pada jam 7.02 malam akibat sakit kanser.

Najib, yang ketika ini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Bahrain, turut mendoakan agar roh Azizah, yang menghidap kanser sejak tahun 2002, dicucuri rahmat.

"Takziah kepada Ketua Polis Negara Tan Sri @Fuzi_Harun dan keluarga atas pemergian isteri tercinta, Puan Sri Azizah Hamdi. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya menerusi laman Twitter semalam.

Jenazah Azizah disembahyangkan di Surau Khalid Al-Walid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam kira-kira 10 malam tadi selepas tiba dari PPUM kira-kira 8.30 malam untuk dimandi dan dikapankan di surau berkenaan.

Jenazah Allahyarhamah kemudian dibawa ke kampung halamannya di Rapat Jaya, Ipoh, untuk dikebumikan kira-kira 9 pagi hari ini.

Allahyarham, yang mengambil alih jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia pada 4 Sept lalu, meninggalkan tiga orang anak.- BERNAMA