“Merafak sembah takziah atas kemangkatan DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani bt Raja Shahar Shah. Moga roh dicucuri rahmat, Al-Fatihah,” katanya dalam laman Twitter dan Facebooknya hari ini.

Raja Nor Mahani, 74, mangkat di Petaling Jaya, Selangor, pada pukul 5.07 petang semalam, dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, selepas solat Asar, petang ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan rakyat jelata boleh memberi penghormatan terakhir di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raha Di Hilir, Ipoh, mulai pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi, manakala bagi pembesar negeri dan orang kenamaan bermula pukul 11.30 pagi.

Raja Nor Mahani, merupakan isteri Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, 76, dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Raja Shah Azman, 43, dan Raja Nor Azwina, 41.

Dilahirkan pada 18 Okt, 1942, Almarhumah dimasyhurkan sebagai Raja Puan Besar Perak pada 1 Julai 2014.- BERNAMA