Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Azman Jaafar berkata, layanan dan sambutan yang diterima Perdana Menteri itu jelas ditunjukkan dalam pertemuan di Washington D.C hari ini.

"Kepada mereka-mereka yang memahami ilmu bahasa gerak badan, ternyata sambutan dan layanan Presiden Trump terhadap Datuk Seri Najib menunjukkan betapa mesra dan yakinnya seorang
pemimpin dunia terhadap Perdana Menteri.

"Perlakuan Trump amat jelas menunjukkan kemesraan antara mereka berdua bukan dibuat-buat, malah ikhlas dan penuh keyakinan," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Lawatan Najib di Washington D.C bermula dari 11 hingga 13 September.

Selain mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Oval, kedua-dua pemimpin turut mengetuai mesyuarat delegasi Amerika Syarikat dan Malaysia yang terdiri daripada anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara. -UTUSAN ONLINE