Beliau yang juga Penaung Program Permata Negara (Permata) turut merasmikan karnival itu selain meluangkan masa beramah mesra dengan ibu bapa, melawat gerai-gerai dan menyaksikan persembahan anak-anak autisme.


Karnival anjuran Permata dan Permata Kurnia itu dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung yang terdiri daripada anak-anak autisme dan ibu bapa.


Kini, seramai 413 kanak-kanak autisme sedang menerima perkhidmatan di Permata Kurnia.


Pengunjung karnival kemudian dikejutkan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang datang kira-kira 12.20 tengah hari untuk bersama-sama meluangkan masa bagi memeriahkan acara.


Kehadiran Najib disambut meriah oleh ibu bapa serta anak-anak autisme selain tidak melepaskan peluang untuk melihat dengan lebih dekat, bersalaman serta berswafoto dengan pemimpin nombor satu negara itu.


Karnival diadakan bersempena sambutan Hari Kesedaran Autisme yang disambut pada 2 April bertujuan mendedahkan anak-anak autisme bergaul dengan kanak-kanak lain selain bagi mengubah stigma masyarakat terhadap mereka.


Sementara itu, Pengarah Pusat Permata Kurnia Jabatan Perdana Menteri Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, pihaknya dengan kerjasama Kolej Komuniti Selayang mewujudkan Awesome Cafe bertujuan melatih anak-anak autisme berdikari dengan terlibat dalam bidang keusahawanan.


Beliau berkata, setakat ini 15 pelajar berumur antara 16 hingga 24 tahun terlibat dengan projek berkenaan.

"Melalui kerjasama itu, setiap sebulan sekali tenaga pengajar dari kolej tersebut akan datang ke Permata Kurnia untuk melatih anak-anak memasak serta membancuh kopi," katanya. - BERNAMA