Ketibaan Najib untuk lawatan rasmi selama tiga hari di negara ini disambut oleh Menteri Luar yang juga Menteri Tugas-tugas Pembangunan Sri Lanka, Tilak Marapana.


Beliau kemudian ke hotel penginapan dan disambut oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican;
para pegawai serta kakitangan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka.


Turut mengiringi Perdana Menteri ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. 


Esok, Najib dijadualkan menghadiri upacara sambutan rasmi oleh Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena.


Ini merupakan lawatan rasmi pertama Najib ke Sri Lanka sempena ulang tahun diplomatik ke-60 kedua-dua negara pada tahun ini.


Ia juga merupakan lawatan timbal balas kepada lawatan Sirisena ke Malaysia, Disember tahun lepas.


Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Sirisena bagi membincangkan pelbagai isu termasuk perjanjian perdagangan bebas (FTA). - UTUSAN ONLINE