Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, Najib boleh memohon kepada kerajaan supaya sebahagian daripada wang yang dibekukan itu dikeluarkan untuk tujuan membiayai kos rawatan yang diperlukan.

“Sepatutnya tidak ada masalah bagi Najib mengarahkan peguamnya menulis surat kepada pihak berkuasa bagi memberi sedikit keringanan ke atas pembekuan akaun untuk tujuan pembayaran bil anaknya.

“Namun saya tidak dapat pastikan sama ada usaha ini sudah digerakkan atau tidak oleh bekas Perdana Menteri itu, jika belum jangan terus tuduh kerajaan zalim” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Sepang, di sini malam ini.

Majlis berkenaan merupakan penampilan pertama Mohamed Hanipa selepas dibenarkan keluar dari hospital semalam berikutan rebah semasa Majlis Perjumpaan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya kelmarin.

Mohamed Hanipa berkata demikian sebagai mengulas laporan media sebelum ini mengenai kesukaran dialami oleh Puteri Norlisa Najib yang mengalami barah tahap empat untuk membuat bayaran bil kimoterapinya.

Menurut Mohamed Hanipa, sekiranya ada surat yang dilampirkan, beliau sendiri akan berbincang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara tersebut.

“Beliau kena desak dan boleh juga tulis surat kepada saya atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Liew Vui Keong) yang mengelolakan hal ehwal undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, seorang lagi anak bekas Perdana Menteri iaitu Datuk Mohd. Nazifuddin memaklumkan mereka tertekan apabila semua akaun yang disyaki ada kaitan dengan siasatan pihak berkuasa ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibekukan.

Kata Mohd. Nazifuddin langkah SPRM membekukan akaun itu turut menyukarkan mereka melunaskan bayaran bil hospital selepas Puteri Norlisa menjalani rawatan kemoterapi untuk barah darah dialaminya. - UTUSAN ONLINE