Kebimbangan tersebut menurut bekas Perdana Menteri itu, bersandarkan kepada artikel yang pernah ditulis oleh Tommy Thomas pada Julai 2016 berhubung 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) ketika belum dilantik menjadi Peguam Negara (AG). 

Dalam artikel yang bertajuk, Grand Lacerny in 1MDB, Najib menyatakan, Tommy dengan jelas merumuskan bahawa wang yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau pada ketika itu adalah wang 1MDB. 

Katanya, pendirian Tommy dalam artikel tersebut, jelas tidak menyukai beliau justeru itu Najib bimbang, Tommy akan tetap mencari jalan untuk mengenakan satu pertuduhan terhadap beliau dengan apa alasan sekali pun. 

Perkara itu dinyatakan dalam afidavit yang diikrarkan oleh Ahli Parlimen Pekan itu bagi menyokong permohonan saman pemula yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) terhadap Tommy dan dua yang lain di Mahkamah Tinggi di sini pada 30 Jun lalu. 

Selain Tommy, Najib turut memfailkan saman pemula terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Dalam saman pemula itu, Najib antaranya memohon satu perintah dan perisytiharan bahawa penglibatan ketiga-tiganya dalam kes terhadap beliau sebagai tidak sah.

Najib menyatakan, Mohd. Shukri pula sepatutnya bersikap neutral sehingga siasatan penuh dilakukan sebaliknya bersifat emosi berunsur dendam terhadap beliau sehingga berasakan tidak akan mendapat suatu siasatan yang adil dan telus. 

Bekas Presiden UMNO itu juga berpendapat, Amar Singh tidak mematuhi piawaian prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan serbuan ke atas premis-premis yang didiami oleh anak-anaknya di Pavilion Residence dan premis yang dipinjamnya daripada seorang rakannya untuk menempatkan barang-barang yang dipindahkan dari kediaman rasmi, di Seri Perdana. 

Pengurusan kes saman itu ditetapkan di hadapan dua Timbalan Pendaftar mahkamah itu pada 16 Julai ini. - UTUSAN ONLINE