Meskipun, kerajaan sekali lagi memberi jaminan bahawa kadar kenaikan tarif air itu tidak akan membebankan rakyat, rata-rata warganet masih menganggap langkah itu bakal memberi kesan kepada mereka khususnya golongan berpendapatan rendah.

Seorang warganet yang dikenali sebagai Kamariah Abdullah tidak bersetuju dengan kenyataan kononnya langkah menaikkan tarif air sama sekali tidak membebankan rakyat.

“Sakit hati dengan kata tidak membebankan rakyat, belit ikut mana pun tetap rakyat menderita.

“Orang yang bergaji besar memang tidak terbeban sebab dia banyak duit, kita yang susah inilah rasa terbeban sangat,” katanya.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, kenaikan tarif air perlu dilaksanakan bagi memastikan pengguna terus mendapat bekalan air berkualiti pada masa depan.

Beliau turut memberi jaminan purata kenaikan tarif air tidak akan membebankan rakyat.

Menurut Xavier, hampir semua kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan kadar tarif air bagaimanapun, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa negeri yang masih belum menyatakan persetujuan dengan cadangan berkenaan.

Menurut seorang lagi warganet, Ai Zart, cadangan yang mahu dilaksanakan secara berperingkat itu, bercanggah dengan apa yang telah dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Bebankan rakyat, dahulu janji air percuma, hari ni kena caj lebih,” katanya.

Seorang warganet yang dikenali sebagai Mus Mike pula meluahkan rasa hairan bagaimana kenaikan tarif air tidak akan menjejaskan rakyat sedangkan kadar tarif air semasa juga dilihat membebankan.

“Saya hairan tarif air naik tetapi tidak membebankan sedangkan tidak naik sudah jadi beban inikan lagi naik tidak membebankan,” katanya. - UTUSAN ONLINE