MARIA CHIN ABDULLAH

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, janji ke-34 dalam manifesto Pakatan Harapan jelas menyatakan bahawa gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara dan satu penjelasan yang memuaskan perlu diberikan terhadap keputusan tersebut.

“Kenaikan sebanyak RM50 yang diumumkan tidak mungkin akan memberi kesan yang ba­nyak kepada golongan paling memerlukan iaitu golongan B40 dan masyarakat miskin bandar.

“Golongan ini semakin dibebankan dengan peningkatan kos barangan yang tinggi dan kebanyakan rakyat yang miskin tidak mampu menyara kos hidup mereka sekiranya bergantung kepada gaji minimum sebanyak RM1,050,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan bersetuju melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan juga memutuskan tidak memberi sebarang subsidi kepada majikan berikutan kekangan kewangan semasa negara.

Sehubungan itu, Maria menggesa laporan mengenai cada­ngan kenaikan gaji minimum kepada rak­yat dihebahkan supaya mereka faham dengan keputusan yang dilakukan.

KHAIRY JAMALUDDIN
KHAIRY JAMALUDDIN

“Kerajaan perlu menerangkan kepada rakyat mengapa cada­ngan Majlis Perunding Gaji Negara (MPGN) untuk meningkatkan gaji minimum seba­nyak RM50 sebulan dipersetujui,” katanya.

Pada masa sama, Maria turut mempersoalkan me­ngapa kerajaan tidak mengambil langkah untuk memberikan subsidi kepada majikan bagi membiayai kos peningkatan gaji minimum yang juga telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

“Saya berharap kerajaan mengambil serius isu pe­ningkatan kos sara hidup di bandar dan mengkaji semula kadar kenaikan gaji minimum ini dan penyelesaian kepada ma­salah kemiskinan di negara ini adalah satu yang amat penting dan harus diberikan tum­puan sepenuhnya.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melalui laman Twitter miliknya mengakui kerajaan perlu mengimbangi kepentingan majikan dan pekerja dalam menangani isu tersebut.

“Kalau paras gaji minimum terlalu tinggi, boleh menjejaskan kedudukan majikan. Kalau terlalu rendah, nasib pekerja tidak dijaga, namun pengumuman kerajaan bahawa gaji minimum terbaru adalah RM1,050 berban­ding RM1,000 mengecewakan,” katanya.