prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim dibuat tanpa pengetahuan Pejabat Peguam Negara.

Beliau sebaliknya menyifatkan laporan media yang memetik sumber daripada Pejabat Peguam Negara berhubung perkara itu, tidak memberi gambaran keseluruhan apa yang berlaku.

Jelasnya, pelantikan Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Muhammad Adib, telah dibuat di peringkat awal lagi bagi membantu proses mencari kebenaran di sebalik kematian Muhammad Adib semasa bertugas.

“Umum mengetahui bahawa peguam berkenaan mewakili JBPM dan kementerian sejak inkues dimulakan pada 11 Februari 2019.

“Tiada bantahan daripada mana-mana pihak yang terlibat dalam inkues berkenaan sehingga ke akhir inkues.

“Sekarang, setelah menerima surat daripada AG (Peguam Negara) bertarikh 23 Mei 2019 yang meminta pelantikan itu dibatalkan, kementerian yang bertindak atas nasihat AG telah serta-merta mengarahkan penarikandiri peguamnya daripada inkues berkenaan.

“Pihak kementerian ingin menegaskan bahawa Puan Syazlin Mansor telah dilantik atas dasar ‘pro bono’ (percuma),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nor Hizwan, Syazlin yang merupakan isteri kepada Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, telah menerima pelantikan beliau dan menjalankan kewajipannya dalam inkues itu tanpa sebarang bayaran.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan ke atas khidmat yang diberikan beliau,” kata Nor Hizwan.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyifatkan peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Kata Zuraida, ini kerana Peguam Negara bertindak mewakili kerajaan termasuk kementeriannya serta JBPM.

Syazlin mengumumkan menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di Shah Alam, semalam.

Penarikan diri beliau mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan mengenai kedudukan inkues berkenaan dalam memberi keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. - UTUSAN ONLINE