Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebelum ini kajian berhubung ELV pernah dilakukan, namun kerajaan tidak mempertimbangkan untuk melaksanakan dasar itu.

“Itu berita palsu sebab kita tiada dasar ELV sekarang dan saya sudah banyak kali memberitahu bahawa ia tidak dipertimbangkan. Saya terkejut ada laporan seperti itu.

“Kuasa mengenai dasar ELV adalah bawah Kementerian Pengangkutan kerana pelaksanaan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bukan melalui agensi lain,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari JPJ Ke-73, di sini hari ini.

Baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari sebagai berkata, kerajaan dijangka mengumumkan semakan semula dasar kereta nasional pada suku kedua tahun ini.

Dalam masa yang sama katanya, kerajaan akan mempromosikan semula ELV yang mewajibkan kenderaan lama lulus pemeriksaan bagi memperbaharui insurans dan cukai jalan.

Mengulas lanjut Anthony berkata, ketika ini dasar menetapkan, kenderaan yang tidak memperbaharui cukai jalan selepas 12 bulan tamat tempoh sah laku perlu menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer tanpa mengira usia kenderaan tersebut.

Justeru katanya, orang ramai tidak perlu khuatir kerana dasar ELV tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan. - UTUSAN ONLINE