Johan Mahmood Merican

 Program tersebut menggambarkan komitmen Kerajaan terhadap memastikan aspek kebajikan rakyat tidak diabaikan kerajaan walaupun ke­dudukan ekonomi ne­gara berhadapan hutang yang tinggi dan situasi fiskal agak mencabar.

Menceritakan lebih lanjut, Pengarah Belanjawan Negara di Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican berkata, mySalam diumumkan dalam Belanjawan 2019 merupakan skim takaful kepada kira-kira 3.8 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) terdiri daripada golongan pendapatan rendah atau B40. 

Ujarnya, skim itu ditawarkan kepada penerima BSH berumur antara 18 hingga 55 tahun. Skim mySalam menyediakan dua manfaat–pertama, untuk mereka yang disahkan menghidap satu daripada 36 penyakit kritikal dan kedua, mereka yang masuk wad hospital kerajaan untuk rawatan. 

“Sebaik mereka didiagnosis salah satu penyakit itu, layak terima bayaran tunai sebanyak RM8,000 sekali dalam seumur hidup. Bukan sekadar itu, mereka juga menerima elaun hospital harian RM50 iaitu sehingga 14 hari atau maksimum RM700 setahun di mana-mana hospital kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kata Johan Merican lagi, menyedari terdapat rakyat Malaysia khususnya golongan B40 enggan menjalani rawatan lanjut di hospital kerana kekangan kewangan misalnya untuk membiayai kos pengangkutan, maka kewujudan mySalam adalah tepat pada masanya.

 “Sikap rakyat itu menyebabkan penyakit dihadapi mereka bertambah parah dan seterusnya sukar diubati, sedangkan ia mampu dirawat pada peringkat awal. 

“Jadi bantuan RM8,000 ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping elaun hospital harian RM50. Khususnya bagi ibu atau bapa yang merupakan sumber pendapatan satu-satu keluarga, sudah tentu skim ini dapat meringankan beban apabila ditimpa musibah apabila didiagnosis dengan salah satu dari penyakit kritikal,” katanya. 

Pada masa sama, Johan Merican berkata, proses tuntutan mySalam adalah mudah iaitu penerima berkelayakan diminta memuat naik salinan kad pengenalan diri di laman web, www.mysalam.com.my bersama dengan dokumen surat pengesahan daripada doktor hospital kerajaan untuk tuntutan diagnosis penyakit kritikal atau salinan nota discaj untuk tuntutan elaun semasa rawatan di hospital. 

Tambahnya, proses tuntutan adalah mengambil masa selama 14 hari dan sama ada proses berjaya atau sebaliknya akan dimaklumkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).