Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, infrastruktur tersebut yang akan digunakan di 150 institusi pengajian tinggi termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di negara ini mampu memberi lonjakan pelaksanaan Massive Open Online Courses (MOOC), JukeBox, Sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) dan Program Dua Universiti + Dua Industri (2u2i) di bawah inisiatif mereka bentuk pendidikan tinggi (Redesigning Higher Education).

Selain itu, katanya, pemba­ngunan MYREN-X yang menelan belanja sebanyak RM330 juta itu juga memberi penjimatan mela­lui penambahbaikan peralatan sedia ada dan infrastruktur MYREN yang telah dilancarkan sebelum ini.

“Ia merupakan kontrak lama yang telah dibuat melalui MYREN tanpa melibatkan pihak lain dan hanya menggunakan peralatan sedia ada.

Kita juga akan menggunakan rangkaian baharu yang memberi banyak penjimatan.

“Jadi MYREN-X ini memberi banyak manfaat kepada pelbagai pihak lebih-lebih lagi golongan pelajar yang boleh membuat penyelidikan dan pembelajaran sehingga melangkaui negara lain lebih me­luas tanpa ada halangan,” kata­nya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Infrastruktur Siber Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi 100 Gigabit sesaat MYREN-X di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur
Sejak 12 tahun, Malaysia membangunkan rangkai­an Penyelidikan dan Pendidikan (REN) melalui MYREN.

Idris berkata, UM menjadi pelopor kepada infrastruktur MYREN-X sebelum diperluaskan kepada universiti awam dan institusi pendidikan tinggi yang lain.

“Sebelum ini mereka hanya mempunyai jalur lebar berkelajuan hanya lima gigabit per saat (Gbps). Kini dengan peningkatan sehingga hampir 20 kali ia menjadi satu lonjakan kepada sektor pendidikan tinggi di negara ini,” ujarnya.