MyHSR dalam satu kenyataan hari ini berkata, berikutan penangguhan itu, syarikat tersebut dan syarikat SG HSR Pte. Ltd. akan menghentikan tender antarabangsa bersama terhadap HSR Assets Company (AssetsCo) yang telah dilancarkan awal tahun ini.

"Kami berterima kasih di atas penyertaan dari syarikat-syarikat antarabangsa dan tempatan yang terlibat dalam tender AssestCo selain akan melihat kerjasama seterusnya pada masa hadapan sebaik sahaja butiran projek dikuatkuasakan.

"Melihat kepada perkembangan terbaharu ini, MyHSR Corp yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan yang bertanggungjawab membangunkan projek berkenaan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam tempoh tersebut," katanya.

Malaysia dan Singapura hari ini menandatangani Surat Sampingan Projek(HSR) Kuala Lumpur-Singapura bagi persetujuan bersama menangguhkan projek berkenaan selama dua tahun sehingga 31 Mei 2020.

Menerusi persetujuan yang dicapai, Malaysia akan membayar kepada Singapura sebanyak SGD$15 juta (RM45.1 juta) bagi menanggung kos dihadapi Singapura terhadap penangguhan sementara tersebut.

Surat Sampingan tersebut ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Menteri Penyelarasan Infrastruktur yang juga Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. - UTUSAN ONLINE