Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, sebanyak 75 gedung borong dan runcit Mydin serta kedai premium, Sam’s Groceria akan menerima bayaran melalui aplikasi Boost bermula hari ini.

Katanya, kerjasama itu menyumbang kepada revolusi pengalaman beli-belah kelengkapan rumah dengan menawarkan akses mudah melalui telefon pintar.

“Perkhidmatan baharu ini dijangka memberi kemudahan kepada para pelanggan Mydin di seluruh negara. Dengan lebih 75,000 transaksi setiap hari kami teruja untuk memperkenalkan inovasi ini seiring dengan perkembangan trend semasa.

“Kami mahu menerapkan penggunaan e-dompet dengan Boost bagi mencipta persepsi yang kuat terhadap jenama Mydin terutama untuk golongan muda,” katanya dalam majlis pelancaran kerjasama antara Boost dan Mydin di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE