Ikuti temu bual dengan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, DATO ABU SAMAH SHABUDIN untuk mengetahui lebih lanjut peranan dan sumbangan MyCC dalam memastikan pemain-pemain industri di Malaysia bersaing secara sihat dan kepentingan pengguna diutamakan.

 

Bolehkah Dato ceritakan serba sedikit mengenai peranan utama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)?

Abu Samah: MyCC adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Persaingan 2010. MyCC bertindak sebagai badan separa kehakiman yang melindungi proses persaingan di Malaysia dengan menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 (AP 2010).

Apakah objektif utama AP 2010?

Abu Samah: AP 2010 ini bertujuan untuk melindungi proses persaingan dengan memastikan perusahaan bersaing dalam pasaran bagi meningkatkan kualiti, mewujudkan pilihan yang lebih luas bagi pengguna serta harga yang kompetitif bagi barangan dan perkhidmatan.

Apakah yang terkandung di dalam akta ini? Bagaimana AP 2010 ini dapat memberi manfaat kepada semua?

Abu Samah: AP 2010 melarang perlakuan antipersaingan yang merangkumi perjanjian antipersaingan dan penyalahgunaan kedudukan dominan. Akta ini dikuatkuasakan untuk melindungi kepentingan pengguna melalui proses persaingan sesama perusahaan dalam pasaran yang menggalakkan kecekapan, inovasi dan keusahawanan. Pengguna seterusnya mendapat faedah melalui harga yang berdaya saing, pembaikan dalam kualiti produk dan perkhidmatan serta pilihan yang lebih luas. Ini secara langsung akan menggalakkan pembangunan ekonomi negara.

Sepanjang tujuh tahun MyCC ditubuhkan, apakah antara pencapaian penting MyCC?

Abu Samah: Setakat ini, MyCC telah mengenakan penalti kewangan melebihi RM28 juta terhadap beberapa perusahaan yang didapati melanggar AP 2010. Selain itu, MyCC juga telah menganjurkan dan menyertai beberapa persidangan antarabangsa persaingan melibatkan barisan pakar-pakar tempatan dan antarabangsa.

MyCC juga telah menganjurkan pertandingan Moot Court mengenai Undang-Undang Persaingan yang melibatkan pelajar universiti selain berjaya melengkapkan beberapa kajian semula pasaran dalam beberapa sektor di Malaysia.

Bagaimana pula dengan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan AP 2010 yang terkini?

Abu Samah: Ketika ini, kami sedang menyiasat 16 kes melibatkan pelbagai industri seperti farmaseutikal, makanan, pengangkutan, perkhidmatan dan perlakuan anti-persaingan dalam perolehan kerajaan. Antara kes terkini yang telah diselesaikan penyiasatannya adalah melibatkan Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahli iaitu kesemuanya syarikat-syarikat insurans am di Malaysia, Pusat Tuisyen dan Penjagaan Harian di Subang Jaya dan Pengusaha-Pengusaha Pasir di Kelantan kerana terlibat dalam perjanjian penetapan harga. Manakala yang terbaru, Tribunal Rayuan Persaingan telah menolak rayuan MyEG Services Berhad dan mengesahkan keputusan MyCC terhadap MyEG Services Berhad kerana menyalahgunakan kedudukan dominannya.

Selain daripada penyiasatan dan penguatkuasaan, MyCC juga mempunyai kuasa untuk menjalankan kajian pasaran. Boleh Dato ceritakan serba sedikit tentang kajian pasaran yang terkini dan bagaimana kaedah ini boleh membantu MyCC dalam menguatkuasakan AP 2010?

Abu Samah: Yang terkini, MyCC telah menyelesaikan dua kajian semula pasaran dalam sektor farmaseutikal dan bahan binaan dalam sektor pembinaan.

Melalui kaedah ini MyCC dapat memahami struktur pasaran yang terlibat dan menentukan sama ada perlakuan perusahaan dalam pasaran mempunyai ciri-ciri amalan anti-persaingan. Orang awam boleh mendapat salinan kajian-kajian tersebut di laman web Suruhanjaya di www.mycc.gov.my.

Berapa banyak kemajuan yang telah dicapai dalam memupuk budaya pematuhan dalam komuniti perniagaan?

Abu Samah: MyCC telah menjalankan lebih daripada 200 program advokasi sejak beroperasi yang melibatkan pihak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), agensi-agensi kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi serta Sekolah Menengah yang seterusnya menjurus kepada peningkatan tahap kesedaran terhadap MyCC dan AP 2010. Selain itu, MyCC juga telah membangunkan Sistem e-Pembelajaran atau “e-Learning System on Competition Compliance for SMEs” bertujuan untuk menggalakkan pematuhan terhadap AP 2010 kepada golongan PKS yang membentuk lebih daripada 90 peratus daripada entiti perniagaan di Malaysia.

Tahniah MyCC di atas sambutan ulang tahunnya yang ketujuh. Sempena dengan sambutan ulangtahun MyCC yang ketujuh pada 1 April 2018, boleh Dato kongsikan apakah program-program yang telah atau akan dianjurkan oleh MyCC?

Abu Samah: Antara program terawal yang dijalankan adalah Siri Jelajah yang bertemakan #BebasKartel dengan memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang mempunyai tahap kesedaran yang rendah terhadap MyCC dan AP 2010. Selain itu, MyCC juga telah menganjurkan pertandingan penulisan esei, pertandingan Choral Speaking, pertandingan fotografi dan MyCC Cycle Cyberjaya #Bebaskartel Kayuh Kaw Kaw 2018.

Apakah objektif yang ingin dicapai melalui sambutan ini dan bagaimana Dato melihat keberkesanan program ini dalam menggalakkan kesedaran awam tentang MyCC dan AP 2010?

Abu Samah: Program-program seperti pertandingan Choral Speaking dan penulisan esei telah berlangsung dengan jayanya dan menerima penyertaan yang sangat menggalakkan daripada pelajar-pelajar di peringkat universiti dan sekolah menengah.

Manfaatnya dapat dilihat melalui karya-karya yang dihasilkan.

Kaedah ini secara tidak langsung dapat menarik minat para pelajar untuk memahami apa itu isu persaingan dan kepentingannya kepada pengguna. Karya-karya yang dipilih sebagai pemenang juga akan dijadikan sebagai produk advokasi MyCC.

Apa yang Dato lihat sebagai cabaran MyCC di masa hadapan?

Abu Samah: Kes-kes yang disiasat oleh MyCC semakin kompleks dan teknikal. MyCC melihat peguam-peguam yang mewakili perusahaan-perusahaan yang didapati melanggar AP 2010 memfailkan representasi yang terperinci berbanding dengan beberapa kes yang lepas.

MyCC juga melihat cabaran dan keperluan dalam mengharmonisasikan pendekatan yang diambil oleh pihak pengawal selia sektor bagi sesetengah industri di Malaysia memandangkan perlakuan perusahaan-perusahaan ini juga boleh termasuk dibawah tinjauan dan bidang MyCC.

Selain daripada itu, dengan perkembangan ekonomi yang pesat sudah semestinya kewujudan e-Dagang akan memberikan cabaran baru bagi MyCC yang menyaksikan teknologi terkini mengubah landskap persaingan dan membawa kepada peluang dan risiko yang baru.

Apakah hala tuju MyCC di masa hadapan?

Abu Samah: MyCC amat serius dalam melindungi proses persaingan di Malaysia melalui aktiviti-aktiviti penguatkuasaan, program-program penyelidikan dan advokasi yang dijalankan untuk beberapa tahun yang lepas.

MyCC juga sentiasa komited dalam mendidik perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana melalui pematuhan undang-undang persaingan di dalam menjalankan perniagaan.

Fungsi-fungsi dan inisiatif-inisiatif MyCC yang telah dilakukan sejak 2011 akan terus dilakukan dengan cekap dan penuh komitmen dalam memastikan proses persaingan dilindungi serta mewujudkan budaya persaingan yang baik dalam pasaran demi kepentingan pengguna, perniagaan dan ekonomi.

MyCC tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana perusahaan yang didapati melanggar AP 2010.

Perusahaan yang didapati bersalah akan dikenakan penalti tidak melebihi 10 peratus dari jumlah pusing gantinya di seluruh dunia.

MyCC akan menumpukan perhatian dalam mengenalpasti isu kos sara hidup yang melibatkan sektor-sektor penting di Malaysia seperti sektor farmaseutikal, pengangkutan, makanan, perkhidmatan, e-dagang dan pembinaan. MyCC juga dalam proses mengkaji semula perundangan kami untuk memenuhi perubahan dinamik pasaran dan mengikut amalan terbaik antarabangsa.

Kami difahamkan bahawa ini merupakan tahun terakhir Dato berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di MyCC.Apakah harapan Dato terhadap MyCC di masa hadapan?

Abu Samah: Ya. Saya berharap MyCC akan terus maju dan lebih dikenali oleh orang awam serta menjadi antara salah sebuah agensi penguatkuasa persaingan yang terbaik di rantau ini. Saya juga berharap MyCC ini dapat diperbesarkan selaras dengan fungsinya yang semakin meningkat dalam usaha untuk melindungi proses persaingan dan menggalakkan pembangunan ekonomi Malaysia.

Ada apa-apa lagi Dato nak tambah?

Abu Samah: Sebenarnya, penguatkuasaan undang-undang persaingan akan menguntungkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kerana AP 2010 mempunyai kuasa untuk melindungi mereka.

Akan tetapi, ia adalah satu persepsi yang salah jika dikatakan monopoli adalah suatu kesalahan. AP 2010 membenarkan monopoli tetapi tidak akan sama sekali membenarkan ianya membuli pesaing-pesaingnya terutamanya yang kecil dan sederhana.Jika mana-mana syarikat atau orang awam ingin membuat aduan berkaitan isu persaingan, mereka bolehlah emel kepada kami di complaints@mycc.gov.my atau datang terus ke pejabat kami.