Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan MyCC, Iskandar Ismail berkata, siasatan dilakukan susulan arahan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkenaan pengeluaran notis-notis kenaikan harga yang dikeluarkan oleh beberapa pemain industri pada bulan Julai dan Ogos 2018 iaitu sebelum pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018.

Katanya, MyCC bersama-sama dengan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada tindakan tersebut menimbulkan isu di bawah undang-undang yang relevan.

“Bertindak atas arahan tersebut, MyCC dan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP telah memeriksa beberapa syarikat tayar, diikuti dengan pemeriksaan oleh MyCC terhadap beberapa persatuan tayar yang berkaitan.

“Pemeriksaan berasingan juga telah dijalankan oleh MyCC terhadap pengeluar minuman berikutan tindakan mereka mengeluarkan notis harga baharu kepada pasar raya dan pasar raya besar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan oleh MyCC ke atas pihak yang terbabit adalah berkaitan dengan seksyen 4 Akta Persaingan 2010 sementara penyiasatan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP adalah berkenaan isu di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Notis telah dikeluarkan kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk mengemukakan maklumat dan dokumen tertentu dalam tempoh yang telah

ditetapkan oleh kedua-dua pihak berkuasa bagi membantu penyiasatan lanjut.

“Operasi bersama MyCC dan KPDNHEP ini bukanlah yang terakhir dan kami akan terus bekerjasama dengan KPDNHEP untuk menguatkuasakan undang-undang,” katanya. - UTUSAN ONLINE