Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Zainal Abidin Yang Razali berkata, jumlah itu merupakan yang tertinggi dicatatkan sejak program berkenaan mula dianjurkan pada 2014.

Tambah beliau, pihaknya juga yakin program itu mencapai sasaran kutipan sebanyak RM16 juta sehingga hujung tahun ini melihat kepada sambutan menggalakkan orang ramai terhadap penganjurannya di seluruh negara.

Selain itu, jelas beliau, pihaknya juga yakin program tersebut akan mencatat jumlah pengunjung seramai sejuta orang tahun ini terutama dengan penganjuran di 160 lokasi baharu.

"Secara keseluruhan, sejak mula dianjurkan pada 2014, program MyBest Buy 2.0 ini sudah mengumpul nilai jualan sebanyak RM58.8 juta.

"Seramai 2,746 usahawan tani juga sudah mendapat manfaat daripada penganjurannya di 188 lokasi seluruh negara selepas dapat memasarkan produk jualan mereka secara terus kepada orang ramai tanpa melalui orang tengah," katanya.

Zainal Abidin ditemui pemberita pada majlis pelancaran MyBest Buy 2.0 Permatang Damar Laut di sini baru-baru ini yang disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Menurut Zainal Abidin, di Pulau Pinang sahaja program tersebut telah mencatat jualan terkumpul sebanyak RM1.9 juta menerusi penganjurannya di 128 lokasi melibatkan 964 usahawan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya merancang menambah baik program berkenaan masa depan termasuk dengan menganjurkannya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan di dalam bandar.

Sehubungan itu, jelasnya, orang ramai atau persatuan penduduk boleh mengemukakan permohonan kepada FAMA bagi membolehkan program berkenaan diadakan di komuniti mereka.

"Sasaran kita ada golongan berpendapatan rendah yang turut tinggal di kawasan bandar dan kita akan meninjau lokasi penganjuran program ini berdasarkan permintaan orang ramai.

"Memandangkan program ini bersifat mobil, maka penganjurannya sangat mudah termasuk di lokasi menjadi tumpuan yang padat dengan penduduk di kawasan bandar," katanya. - UTUSAN ONLINE