Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tapak berkenaan yang dilaksana menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), bakal diwujudkan di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan umum termasuk kawasan pelancongan.

"Hari ini kita melancarkan dan menyerahkan  My Hot Spot pertama di negara ini di sini untuk diuruskan oleh Koperasi Politeknik Sultan Azlan Shah (Kopsas) yang turut melibatkan 12 unit kedai.

"Antara lokasi lain yang kita kenal pasti ialah sekitar kawasan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Wangsa Maju, Cheras dan kawasan pelancongan seperti Pantai Klebang di Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan tapak My Hot [email protected] PSAS di politeknik berkenaan di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Mohd Ismail Abd Aziz.

My Hot Spot yang merupakan sebahagian daripada skop pelaksanaan Food Truck 1Malaysia (FT1M) adalah aktiviti di bawah Program Penjaja 1Malaysia (PP1M) yang menerima peruntukan dalam Bajet 2018.

Hamzah berkata, pembukaan My Hot Spot itu membuktikan komitmen kerajaan untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan menerusi peruntukan RM120 juta bagi memperkasa industri 'food truck' seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pada masa sama, My Hot Spot @ PSAS ini juga boleh bertindak sebagai inkubator keusahawanan kepada para pelajar di sini untuk menimba pengalaman berniaga serta menerima bimbingan daripada peniaga-peniaga sedia ada," katanya. - UTUSAN ONLINE