Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ketika berucap,  Mohamed Nazri berkata, seni kartun tidak harus dilihat sebagai ‘laungan hati’ semata -mata tetapi boleh membantu minda dan sikap yang sihat.

“Lakaran kartun bukanlah hanya memaparkan bentuk hiburan namun terdapat mesej dan nasihat yang disampaikan dalam bentuk humor.

“Daripada sudut yang luas, karya seni kartun yang indah dan menarik serta bersopan dapat membantu mengharumkan nama negara di mata dunia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi pelancaran kalendar acara tersebut, pengunjung dapat merancang hari cuti mereka untuk melawat muzium menerusi program yang telah pun dirancang.

“Pelancaran kalendar ini akan membantu peningkatan statistik pengunjung secara holistik. Pada tahun lalu, sejumlah 3.18 juta orang pengunjung telah dicatatkan dengan peningkatan 4.2 peratus berbanding 2016,” katanya.

Pameran Kartun dan Kita dibuka kepada orang ramai sejak 8 Disember tahun lalu dan berakhir pada 15 April ini. - UTUSAN ONLINE