Bertempat di padang sekolah, himpunan yang turut disertai oleh 35 guru termasuk empat guru pelatih itu bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid berbilang bangsa di sekolah itu.

Guru Besarnya, Ng Kit Chee berkata, idea untuk menjayakan program tersebut tercetus daripada hasil perbincangan antara sesama cikgu termasuk guru penolong kanan.

“Kita harapkan melalui aktiviti sebegini, ia dapat menanam rasa cinta akan negara dan hormat-menghormati sejak dari kecil lagi supaya ia dapat terus dihayati pada setiap masa.

“Murid sekolah ini terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan Bidayuh kerana ada antara ibu bapa yang bekerja sebagai anggota tentera,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE