MUHAMMAD NAUFAL ZAFRAN

Ini kerana, kanak-kanak itu kini masih dalam rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Bapa mangsa, Mohd. Zahirrudin Zakaria, 42, berkata, anaknya yang kini dirawat di Unit Rawatan Kebakaran dijangka mengambil masa empat bulan untuk pulih sepenuhnya dan menyambung pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang.

“Doktor yang merawat anak saya menjangkakan dia hanya boleh memulakan persekolahan semula pada tahun depan,” kata­nya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, anaknya menjalani dua pembedahan untuk mengambil kulit pada bahagian belakang badan dan kedua-dua belah tangannya untuk ditampal di bahagian yang melecur teruk.

Utusan Malaysia pada 2 Ogos lalu melaporkan, dalam kejadian kira-kira 2.40 petang itu, Muhammad Naufal Zafran, 7, bersama rakan sebayanya menemukan sebotol bekas minuman mengandungi bahan bakar di dalam longkang sebelum bertindak mencucuhnya menggunakan pemetik api.

Tindakan itu menyebabkan api menyambar badan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang tersebut menyebabkan dia cedera dari bahagian leher hingga kakinya.

Sementara itu, Mohd. Zahirrudin yang bekerja sebagai pemandu ambulans di Hospital Kuala Nerang berkata, dia memerlukan bantuan untuk keluarganya berulang alik ke HSB untuk menjaga Muhammad Naufal Zafran.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 016-9385291 atau me­nyalurkan sumba­ngan melalui akaun Bank Rakyat 220321177031.