Pengerusiya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana bahan-bahan toksik mudah dibuang ke sistem saliran dan sungai, tetapi tidak dapat dikesan kerana pemantauan tidak dapat dijalankan 24 jam sehari.

 

Bagaimanapun, katanya, agensi penguat kuasa yang relevan perlu meningkatkan penguatkuasaan mereka untuk menghentikan pembuangan toksik di sungai-sungai dan melaksanakan langkah pencegahan untuk mengelakkan tragedi serupa pada masa akan datang.

 

“Agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran dan pihak berkuasa tempatan harus menjalankan operasi bersama bagi memastikan premis perniagaan, kilang dan orang awam tidak mencemarkan sistem saliran dan sungai kita.

 

“Langkah-langkah pencegahan adalah penting kerana mereka dapat mengenal pasti aktiviti yang boleh menjadi sumber pencemaran dan menghentikan pencemar dari memasuki sistem perparitan dan sungai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambah Lam Thye, tindakan tegas juga harus diambil terhadap mereka yang mencemarkan sungai sebagai amaran kepada orang lain.

Mereka yang didapati bersalah mencemari sungai perlu diwajibkan membayar segala kos pembersihan tersebut.

 

“Misalnya, mereka yang bertanggungjawab membuang sisa berjadual toksik di Sungai Kim Kim, boleh dikenakan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 dan dipenjarakan tidak lebih daripada lima tahun.

 

“Kita tidak perlu menunggu sehingga insiden serupa berlaku sebelum dipergiatkan pemeriksaan di premis perniagaan, kilang dan kediaman,”ujarnya.

 

Menurut Lam Thye lagi, operasi bersama juga perlu dilakukan dengan kerap dan berterusan supaya semua pihak akan mematuhi garis panduan dan undang-undang mengenai pelupusan sisa, produk sampingan atau cecair.

 

Ini kerana selain pemeriksaan biasa, katanya, agensi penguat kuasa juga mesti melakukan pemeriksaan tempat dan mengambil sampel dari premis itu untuk memastikan bahawa pengendali tidak melanggar undang-undang khususnya EQA 1974.-UTUSAN ONLINE