Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan masalah maklumat tidak sahih pada kad pengenalan selepas ada kes ‘50 hingga 100 orang’ menggunakan alamat sama untuk mendapatkan kad pengenalan.

“Ada permohonan alamat tetapi kawasan itu adalah tanah kosong tanpa rumah. Kita tidak mahu perkara itu berulang,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2018, di sini hari ini.

Mohd. Azis berkata, penggunaan alamat yang tidak sahih menyukarkan urusan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam urusan daftar mengundi dan juga pengesanan individu dalam siasatan polis.

Mohd. Azis berkata, bagi yang menyewa, mereka perlu menyertakan dokumen perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah serta dokumen lain bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut.

“Sekiranya pemohon tidak dapat mengemukakan dokumen sokongan, mereka hendaklah mengemukakan surat pengesahan daripada penghulu, ketua kampung, tuan rumah, anggota Parlimen dan majikan untuk menyokong permohonan penukaran alamat pemohon,” katanya. - BERNAMA