Soal Mohd. Asri, adakah agama mengajar melakukan perbuatan seperti itu.

“Jika pun berbeza pendapat, apakah agama mengajar sedemikian rupa? apakah itu ajaran yang dipegang,” katanya dalam status Facebooknya di sini hari ini.

Dalam status tersebut, Mohd. Asri turut berkongsi pautan berita mengenai suspek kes bakar keretanya pada Mac lalu yang pada awalnya telah diupah untuk menyimpah asid kepada beliau.

Utusan Online sebelum itu melaporkan, suspek terakhir kes bakar kereta Mohd. Asri dikenali sebagai Mie Tomoi yang ditahan pada 6 Julai pada mulanya diupah pihak tertentu untuk menyimbah asid ke muka Mufti Perlis itu.

Bagaimanapun suspek dikatakan tidak sampai hati dan mengubah tindakannya itu kepada cubaan mengugut dengan membakar kereta Mohd. Asri dalam kejadian Mac lalu itu.

Selain itu, Mie Tomoi yang mempunyai 16 rekod jenayah lampau berkaitan samun dan dadah itu turut terlibat dalam kes tetak Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs), Dr. Hazman Hassan pada tahun lalu.

Dalam kejadian pada 22 Mac lalu, kereta rasmi Mohd. Asri iaitu jenis Honda Accord rosak setelah disyaki dibakar oleh pihak tertentu semasa diletakkan di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini pada pukul 5.45 pagi.- UTUSAN ONLINE