Gesaan tersebut dibuat ketika memaklumkan mengenai kunjungan Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muzammil Ismail yang mahu mendapatkan nasihatnya berhubung pengharaman gabungan tersebut.

“Menerima kunjungan Exco Armada Pusat Parti Bersatu saudara Muzammil. Beliau datang berbincang dan bertanya pendapat dalam usaha mereka mendesak pengharaman Dong Zong.

“Saya menyokong usaha itu sepenuhnya. Saya mengajak semua rakyat Malaysia menandatangani petisyen sokongan pengharaman pertubuhan rasis Dong Zong,” katanya dalam status Facebooknya di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Armada melancarkan petisyen secara dalam talian bagi mendesak pertubuhan itu diharamkan dan usaha tersebut mendapat sokongan ramai yang turut ingin melihat pengharaman tersebut.

Pada 12 Ogos lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Sejak tiga minggu lalu, isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidiakan Cina, Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).- UTUSAN ONLINE