Hubungan yang erat serta kerjasama tersebut telah berjaya mewujudkan perpa­duan dalam hubungan sesama mereka dan juga pembangunan kampung sehingga memikat perhatian ju­ri pertan­dingan ber­kenaan

Menurut Pengerusi Ja­watankuasa Kemaju­an dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Parit Puteri Menangis, Pontian, Ahmadon Md. Som, kejayaan mengungguli kategori Kampung Tradisional di Johor adalah hasil ko­mitmen penduduk da­lam menjayakan pro­gram yang dirancang demi kebaik­an mereka.

“Yang lebih membanggakan apabila golongan belia turut memainkan peranan pen­ting dalam program dan projek ekonomi yang dilaksanakan di kampung yang dihuni lebih 1,200 penduduk ini.

“Golongan belia di de­sa boleh dibentuk menjadi tonggak sesebuah kampung jika mereka di­pimpin dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui selepas Maj­lis Penyampai­an Hadiah Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri 2017 Zon Tengah dan Selatan di sini hari ini.

Ditanya mengenai projek ekonomi di kampung itu, Ahmadon berkata, kampung tersebut dikenali dengan tanaman nanas yang diusahakan pendu­duk di kawasan seluas le­bih 200 hektar.

Selain itu, penduduk turut menjalankan perniagan industri kecil sederhana seperti menjual kraf tangan, biskut dan juga menghasilkan benang da­ripada daun nanas.

Sebanyak tujuh buah kampung dinobatkan sebagai johan anugerah bagi kedua-dua zon tersebut melibatkan 171 kampung di Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Se­langor.

Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai RM12,000, trofi dan sijil penyertaan.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pertandingan yang melibatkan 14 negeri di negara ini melibatkan tiga kategori iaitu Kampung Tradisional, Kampung Orang Asli dan Rumah Panjang.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Gemencheh Lama di Tampin, Sharin Yaacob, berkata, kerjasama baik dan saling hormat dalam kalangan penduduk mendorong kejayaan kampungnya.

Katanya, pelbagai aktiviti ekonomi yang dibangunkan di kampungnya sehingga menjana pendapatan kepada penduduk merupakan antara faktor Kampung Gemencheh Lama meraih tempat pertama di Negeri Sembilan.

“Kejayaan ini adalah kerjasama semua penduduk kampung. Antara projek ekonomi yang dijalankan seperti penternakan ikan, tepung goreng, biotek tisu kultur untuk tanaman pisang dan banyak lagi,” katanya sambil menambah kampungnya memiliki 241 rumah.

Pengerusi JKKK Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh, Kluang, Ramli Yusof, 57, memberitahu, pengiktirafan yang diterima itu menjadi pendorong untuknya dan penduduk kampung terus berusaha meraih kemenangan di peringkat kebangsaan pada Ogos depan.

“Hasil yang diperolehi hari ini merupakan usaha dan kerjasama seluruh penduduk kampung. Kita juga berterima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang memberi bantuan dan nasihat dalam menjayakan beberapa projek pertanian,” katanya.

Ujarnya, antara projek pertanian tersebut adalah tanaman pisang dan serai wangi serta ternakan ayam dan kambing di kawasan seluas kira-kira 20 hektar.