Ketua Pemuda UMNO negeri, Nor Hariri Mohamed Noor berkata, projek MSC tersebut merupakan ilham Dr. Mahathir pada 1996, iaitu lebih 22 tahun dan tiada perkara baharu diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kata beliau, pihaknya khuatir MSC 2.0 yang ingin dibangunkan kerajaan PH hanya akan menjadi medan utama untuk menabur fitnah terutama ke atas rekod-rekod cemerlang kerajaan terdahulu yang dipimpin Barisan Nasional (BN).

“Sepatutnya dalam era masa kini yang arus perkembangan teknologinya sangat pantas berkembang, kerajaan mencadangkan serta merencanakan rancangan-rancangan yang lebih segar dan dinamik.

“Kerajaan tidak sepatutnya hanya bernostalgia dengan pencapaian masa silam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan PH bersedia memberi nafas baru terhadap MSC dan Cyberjaya sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Mengulas lanjut, Nor Hariri berkata, rakyat sebenarnya tertunggu-tunggu idea serta iltizam baru kerajaan PH yang begitu berkeyakinan tinggi memberi seribu pengharapan kepada mereka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Namun apa yang berlaku, sehingga kini kerajaan masih gagal membuahkan satu atau lebih idea baru yang benar-benar menyakinkan rakyat. Apa yang berlaku hari ini, kerajaan dilihat cuba menutup kelemahan mereka mengurus tadbir negara dengan menuding jari kepada pembangkang.

“Kami berpandangan idea mencetuskan MSC 2.0 hanyalah satu idea yang tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) yang seharusnya menjadi keutamaan kerajaan hari ini, sebagaimana pernah dilakukan oleh BN,” katanya. - UTUSAN ONLINE