Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

MRT projek infrarakyat – Najib

Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor ketika berada di Stesen Tun Razak Exchange dalam majlis pe
NAJIB TUN RAZAK dan isteri, Rosmah Mansor ketika berada di Stesen Tun Razak Exchange dalam majlis pelancaran Projek Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK), Selangor Fasa Dua semalam. Turut hadir Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan barisan menteri Kabinet yang lain. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 17 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Projek Transit Ali­ran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) kini menjadi realiti dan bukan lagi sekadar di atas ‘kertas’ selepas kerajaan membuat keputusan pembinaannya pada 2009.

Beliau turut menyatakan rasa bangga apabila projek infrarakyat itu mampu disiapkan lebih awal daripada jadual asal selain menjimatkan kos RM2 bilion kepada RM21 bilion daripada sasaran awal kos projek sebanyak RM23 bilion.

Lebih mengujakan, kata beliau, kemudahan pengangkutan awam bertaraf dunia itu menggunakan kepakaran tempatan dengan penglibatan 50 peratus syarikat bumiputera yang telah terbukti kemampuannya sekali gus boleh memperluaskan kemahiran mereka ke peringkat antarabangsa.

“Saya rasa amat terharu dan berpuas hati secara peribadi. Projek ini usaha kita semua secara kolektif. Pada 2009, kita ambil keputusan memberi kebenaran kepada projek ini, cuma di atas sekeping kertas sahaja tetapi sekarang menjadi realiti.

“Pengalaman cukup manis saya merasai perjalanan tren dari Tun Razak Exchange (TRX) sehingga Kajang. Kita dapat rasai perjalanan lancar, kita dapat saksikan apa maknanya infrarakyat bertaraf dunia, bukan sekadar sebutan, kini menjadi realiti. Ini titik permulaan sahaja, banyak lagi menanti, insya-Allah,” katanya ketika berucap di Stesen MRT Stadium Kajang di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; barisan menteri Kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Terdahulu, berucap dalam maj­lis pelancaran di Stesen TRX, Perdana Menteri berkata, pelbagai lagi projek pengangkutan awam secara bersepadu akan dilaksanakan termasuk MRT Kedua laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, LRT3 Bandar Utama-Johan Setia, Kereta Api Pantai Timur (ECRL), projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura serta menaiktaraf sistem monorel dan KTM.

“Ini semua akan dilaksanakan pihak kerajaan, apatah lagi apabila MRT3 atau MRT circle line siap, bererti menjelang 2027 nanti, kita akan menyaksikan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang berintegrasi sepenuhnya. Inilah impian kita. Berdasarkan rekod pencapaian, kita akan dapat memenuhi objektif ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara, beliau meletakkan keutamaan untuk membina jaringan sistem pengangkutan yang efisien di Kuala Lumpur bagi mengatasi kesesakan lalu lintas dengan kos berpatutan untuk rakyat.

Beliau menjelaskan, dengan jaringan sistem pengangkutan yang terbaik, ia sekali gus dapat memberikan manfaat kepada rakyat yang sudah tentunya menjimatkan masa serta kos perjalanan yang lebih singkat sekali gus meningkatkan produktiviti pekerja.

“Kita sedar apabila melihat pengalaman di ibu kota lain di rantau ini, kesesakan lalulintas amat teruk sehingga seseorang itu terpaksa menghabiskan masa selama lapan hingga 10 jam tiap-tiap hari di atas jalan raya. Sebelum perkara itu terjadi di Kuala Lumpur, kita perlu mengambil langkah awal untuk mengelak keadaan itu (kesesakan) kerana tanda-tanda sudah boleh dilihat terutama apabila hujan.

“Kita melakar masa depan negara, lakaran masa depan Malaysia pada masa akan datang. Kalau rakyat memberikan keyakinan, apabila tiba masanya nanti, hasrat kita untuk mencapai sebuah negara moden, maju, hebat dan cemerlang, insya-Allah akan menjadi kenyataan,” katanya.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Program Keusahawanan Muda MRT kepada 30 penerima yang layak serta memberikan sumbangan kad MyRapid Touch n Go kepada keseluruhan 100 penerima dalam kumpulan rakyat berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain