MQA diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa manakala mewakili HEEACT ialah Pengarah Eksekutifnya, Prof. Angela Yung-Chi Hou. 


Menurut Rujhan, MoA berkenaan bagi memperbaharui perjanjian lama dan akan berkuat kuasa selama lima tahun iaitu bermula tahun ini sehingga 2022. 


“MoA dahulu mendatangkan hasil yang baik kepada kedua-dua negara dan memberikan manfaat besar kepada pelajar dan pensyarah. Hal ini kerana MoA ini melibatkan semua kursus pengajian bagi peringkat ijazah pertama di universiti. 


“Malah, tahun lepas seramai 16,051 pelajar dari negara ini melanjutkan pelajaran di Taiwan dan diakui jumlah itu bertambah dari tahun ke tahun. Ia juga sekali gus menunjukkan kualiti pendidikan di negara ini khususnya dalam bidang perniagaan, teknologi, perubatan serta sastera terus diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya di sini hari ini. 


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani MoA di antara MQA dan HEEACT di sini hari ini. Turut hadir delegasi pendidikan tinggi dari Taiwan serta kakitangan MQA. 


Dalam pada itu, Rujhan berharap, MoA berkenaan menjadi penanda aras kepada MQA sebagai sebuah badan pengiktiraf antarabangsa selari dengan matlamat penubuhannya. 


“Kita juga berharap akan berlaku kerjasama yang baik serta memberi peluang kepada agensi yang diiktiraf seperti melaksanakan program pertukaran kakitangan, menjadi pemerhati bagi amalan pengauditan institusi serta pelbagai program latihan di antara kedua-dua negara,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE