Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan memberitahu, MPPN merupakan inisiatif kementerian dalam mewujudkan platform yang berfungsi secara efektif dan menyeluruh demi kepentingan pengguna di Malaysia.

Selain itu, katanya, MPPN juga dapat bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan bagi memantau aktiviti yang melanggar hak-hak pengguna serta menyalurkan maklumat-maklumat mengenai kekangan yang dihadapi oleh pengguna dari akar umbi.

"Secara tidak langsung, MPPN dapat memantapkan lagi kerjasama dengan pihak kerajaan demi memastikan matlamat untuk melahirkan pengguna yang berdaya upaya tercapai," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat MPPN di sini hari ini.

Pada mesyuarat itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Pengerusi MPPN, Mohd. Azmi Abdul Hamid dan seorang ahli, Datuk Dr. Ma’amor Osman.

MPPN dianggotai oleh 16 l wakil dari persatuan pengguna, industri, ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan lain yang berkaitan dengan isu kepenggunaan.

Jelas kementerian, mesyuarat MPPN itu telah membincangkan pelbagai isu berkaitan kepentingan pengguna di negara ini.

"Antara isunya adalah peningkatan harga barangan pengguna, kenaikan harga rumah, keselamatan produk kesihatan pengguna, peningkatan harga ikan, isu keberhutangan pengguna serta isu gaya hidup pengguna yang berlebihan," katanya. - UTUSAN ONLINE